Sayu : Kata-kata jadi nyata .. jatuh dan meninggal lepas tengok bola di Stadium

RASA : "Ni kali terakhir abang pergi stadium tengok bola. Lepas ni, abang tak pergi lagi dah. Ni yang last."

Itulah kata-kata terakhir penyokong setia pasukan The Red Giants, Zainal Ludin, 60,  kepada isterinya Suriati Sujud, 53, sebelum keluar rumah untuk ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir Selangor menentang Pahang, kelmarin.

Suriati berkata, suaminya merupakan peminat setia pasukan The Red Giants dan tidak akan melepaskan peluang ke stadium bagi menonton perlawanan secara langsung.

“Dia ke sana bersama dua jiran kami dan anak sulung kami, Fairus Izuan. Apa yang makcik terkilan, arwah tak sempat nak tengok wajah cucu pertama kami.

"Anak kedua kami sedang mengandung enam bulan. Itulah bakal cucu sulung kami. Kami sekeluarga tunggu lama, selepas sembilan tahun anak kami tu kahwin," katanya sebak.

Memberitahu lanjut, dia berkata, polis datang ke rumahnya pada jam 1 pagi dan memaklumkan suaminya telah meninggal dunia akibat sesak nafas di parkir stadium.
"Makcik sedih sangat bila terkenangkan yang masa kejadian tu, anak sulung kami dah masuk dalam stadium. Arwah juga yang suruh dia (anak) masuk dulu.

“ALLAH telah pun jemput dia. Makcik reda pemergian suami. Walaupun makcik sedih tapi mati itu pasti,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Dia yang sebak setiap kali menyebut tentang Allahyarham Zainal, sesekali dilihat mengelap air mata yang bergenang.

"Arwah pakcik mengidap sakit jantung, dah lima tahun. Tapi, Alhamdulillah keadaannya stabil, sebab arwah pakcik sangat jaga soal makan.

“Arwahnya semalam (kelmarin), makcik tengok bersemangat sangat. Memang langsung tak ada tanda-tanda dia nak tinggalkan kami. Lagipun, memang perwatakannya ceria. Semua orang senang dengan dia, termasuklah jiran-jiran.

“Cuma ayat dia yang kata nak ke stadium kali terakhir tu jelah buat makcik terfikir-fikir. Elok je dia keluar rumah, ayat dia tu terngiang-ngiang je kat telinga makcik. Tapi tak sangka pula ia berakhir dengan berita kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus The Red Giants, Amirudin Shari berkata, pihaknya dan pemain akan mengumpulkan sumbangan peribadi dan diserahkan kepada keluarga Zainal sebelum berlangsung perlawanan akhir menentang Kedah, minggu ini.

“Arwah pun berumur 60 tahun. Jadi, kita akan usaha dapatkan Skim Mesra Usia Emas yang melayakkan keluarganya mendapat RM2,500.

“Oleh kerana Allahyarham Zainal belum lagi mendaftar, mungkin urusannya akan ambil sedikit masa. Tepi kita akan usahakan untuk keluarganya dapat bantuan dari kerajaan negeri itu,” katanya.-SINAR
Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

1 ulasan: